Monday, April 19, 2010

Ke arah Memartabatkan Bahasa Melayu

oleh Ani Awang dan Zumurni Hamzah

SEJARAH kegemilangan zaman lampau Bahasa Melayu, kedudukannya sebagai bahasa pribumi, fungsinya sebagai lingua franca, sifatnya yang sangat lentur dan senang dipelajari menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.

Oleh itu, pembinaan bahasa dimaksudkan sebagai usaha ke arah memantapkan Bahasa Melayu dari sudut sistemnya iaitu sistem ejaan, sebutan. tatabahasa, peristilahan, kosa kata dan laras bahasa.

Menurut pakar bahasa, Dr. Nik Safiah Karim, pemantapan sistem bahasa sebagai persediaan menjadi bahasa yang cekap dan yang mempunyai daya pengungkap hal ehwal ilmu, teknologi dan segala bidang untuk kehidupan moden telah mencapai tahap yang kukuh, walaupun proses ini masih berterusan dan masih perlukan pemantapan.

Beliau berkata, kemajuan pendidikan dalam Bahasa Melayu telah berlaku dengan pesatnya apabila kerajaan menubuhkan sekolah menengah berbahasa pengantar Melayu dan terlaksananya Dasar Pendidikan Negara yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT).

‘Setelah merdeka, melalui usaha-usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), perancangan yang tersusun telah dijalankan terhadap Bahasa Melayu.

“Fungsi utama DBP direalisasikan melalui dua program besar, iaitu melalui pembinaan bahasa dan pengembangan bahasa.

“Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan, tiba di kemuncaknya apabila menjadi bahasa pengantar di peringkat universiti.

“Kejayaan Bahasa Melayu itu dapat dilihat sebagai wahana ilmu pengetahuan melalui penggunaan bahasa tersebut dalam syarahan-syarahan perdana,” katanya ketika membentangkan kertas kerja Pemerkasaan Bahasa Melayu di IPT pada Persidangan Kebangsaan Bahasa Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi di Selangor baru-baru ini.

Seminar bertemakan Bahasa Melayu Wahana Pembangunan Negara itu berlangsung pada 6 hingga 8 September lalu.

Menurut Nik Safiah, usaha memperkasakan Bahasa Melayu di IPT adalah menggunakannya dalam situasi-situasi rasmi dan memupuk semangat cintakannya.

Kata beliau, kini Bahasa Melayu menghadapi semacam zaman kegelapan sementara, tetapi kita yakin bahawa Bahasa Melayu akan dapat bangun kembali, mengambil tempatnya yang asal apabila mendapat sokongan dan dukungan terhadap pengguna bahasanya terutama dalam konteks penggunaan d IPT.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Seni Budaya Malaysia, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh berkata, perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan sehingga ke universiti.

Menurut beliau, ia menunjukkan kesungguhan serta komitmen yang tinggi pihak kerajaan untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi.

Namun, realitinya kini, kata Wan Hashim, Malaysia sudah mengamalkan pendidikan dwi aliran pada peringkat pasca Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu aliran bahasa kebangsaan untuk Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan aliran bahasa asing terutama Bahasa Inggeris untuk Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Di sektor swasta, kata beliau, penggunaan Bahasa Inggeris masih diutamakan dengan alasan ia satu keperluan yang membabitkan perhubungan luar negara dan perdagangan antarabangsa.

Wan Hashim yang juga Ahli Parlimen Gerik berkata, kelahiran institusi pendidikan swasta yang dibenarkan melahirkan dua aliran pendidikan yang menggunakan dua bahasa pengantar yang berbeza.

“Ia sekali lagi memulakan sejarah persaingan di antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk diterima umum sebagai bahasa utama khususnya sebagai wahana untuk menyampaikan ilmu tinggi dan ilmu baru.

“Dasar baru pengajian Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris meningkatkan kembali martabat Bahasa Inggeris walaupun ia secara formalnya tetap dianggap sebagai bahasa kedua negara,” katanya dalam kertas kerja Usaha Memartabatkan Bahasa Melayu Melalui Jalan Berliku.

Wan Hashim menambah, fenomena globalisasi dan budaya ICT muncul sebagai ombak besar yang meletakkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dunia.


Dalam konteks Malaysia, kata beliau, ia muncul kembali untuk bersaing hebat dengan Bahasa Melayu yang telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Beliau berkata, Bahasa Inggeris diberi ruang yang luas dan keutamaan serta kedudukan yang istimewa dalam pada yang sama menurunkan nilai ekonomi Bahasa Melayu.

“Sayugia diingatkan bahawa Bahasa Melayu masih merupakan bahasa utama dan bahasa rasmi dalam sidang Parlimen, dalam ucapan dan perbahasan tahunan. Perhimpunan Agung UMNO, urusan pentadbiran kerajaan dan bidang perundangan” ujarnya.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Teknologi Maklumat dan Multimedia, Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn, Miswan Surip dan Biamin Ahmad berkata, Bahasa Melayu dalam bidang teknologi maklumat perlu jelas untuk menjadikannya lebih berkeupayaan dan digunakan oleh lebih ramai pengguna.

Menurut kedua-duanya,. ini kerana bidang perisian merupakan bidang yang penting dalam meperkatakan keupayaan sesuatu bahasa itu menjadi bahasa teknologi maklumat.

Ketika membentangkan kertas kerja Keupayaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Teknologi Maklumat (IT) Di Era Globalisasi, mereka menjelaskan, untuk menjadikan Bahasa Melayu berupaya menjadi bahasa IT beberapa cabaran yang perlu diatasi di peringkat nasional antaranya penggunaan Bahasa Melayu dalam bidang pencipta perisian masih sedikit.

“Cabaran kedua adalah semua peralatan Computer Aided Software Engineering (CASE) yang mendapat tempat di negara ini menggunakan Bahasa Inggeris.

“Keadaan ini menyebabkan pembangunan perisian akan selesa dengan budaya kerja mereka dan akan terus mengabaikan perkembangan teknologi perisian sejagat,” kata mereka.

Untuk mengatasi masalah ini, menurut mereka, institusi pengajian tinggi tempatan (IPT) perlu mengadakan lebih banyak kursus yang berkaitan dengan kejuruteraan perisian dan pelajar yang berpotensi melanjutkan pelajarann ke peringkat yang lebih tinggi.

“Tujuannya untuk memperbanyakkan golongan dengan penggunaan dwibahasa dan berpengetahuan luas dalam bidang yang kian berkembang pesat ini.

“Dengan cara ini bilangan golongan yang menggunakan Bahasa Melayu pada peringkat kepimpinan dalam industri perisian dapat diperbanyakkan dan mempertingkatkan penyelidikan dalam bidang kejuruteraan perisian.

“Syarikat tempatan atau golongan penyelidik tertentu perlu bekerjasama dengn pengeluar peralatan CASE luas negara untuk menterjemahkannya kepada Bahasa Melayu sepenuhnya,” tambah mereka.



(Sumber : Utusan Malaysia (31/10/2005) )

No comments:

Post a Comment